Rites de Passage
        oleh: Akmal Hafiz

Pengenalan       Sebelum Kelahiran       Selepas Kelahiran       Alam Kanak-kanak       Alam Perkahwinan      

Alam Ibu Bapa       Kematian


SELEPAS KELAHIRAN

MENYAMBUT KELAHIRAN

         Anak adalah merupakan sesuatu yang amat bernilai bagi setiap pasangan yang telah mendirikan rumahtangga. Ini kerana di samping menceriakan suasana rumahtangga, anak merupakan zuriat penyambung keturunan bagi sesebuah keluarga.

         Biasanya, seorang isteri akan mula menunjukkan tanda-tanda sedang mengandung apabila berasa loya dan sering muntah-muntah. Pada waktu begini, isteri biasanya lebih gemarkan makanan yang masam untuk mengurangkan rasa mual seperti memakan mangga muda, mempelam mahupun asam atau jeruk. Bagi masyarakat Melayu, sebaik sahaja berita gembira tersebut diketahui, si isteri akan dijaga bagai menatang minyak yang penuh oleh suami dan ahli keluarganya yang lain, tambahan pula jika anak yang dikandung adalah anak sulung atau dipanggil bunting sulung. Pada waktu begini, si isteri biasanya akan mengalami perasaan pelik-pelik seperti mengidam. Mengidam ialah keadaan di mana seseorang terlalu berkeinginan untuk melakukan sesuatu atau makan sesuatu yang biasanya tidak pernah diminta sebelum ini. Permintaan isteri tersebut adalah perlu ditunaikan oleh suami walau apa jua rintangan dan halangan yang harus ditempuhi. Ini kerana dalam adat dan kepercayaan Melayu, sesuatu yang buruk akan menimpa ibu dan anaknya jika apa yang diidamkan tidak dapat dipenuhi.

         Selain itu, kedua-dua suami isteri haruslah menjaga adab dan kelakuan mereka sepanjang tempoh isterinya mengandung. Ini adalah kerana dalam kepercayaan Melayu, wujud keadaan mengenan atau kecacatan kepada sifat fizikal bayi sekiranya salah seorang dari ibu bapanya melakukan penganiayaan terhadap haiwan atau sebagainya. Fenomena sumbing dikatakan salah satu contoh keadaan yang akan menimpa bayi sekiranya si suami pergi memancing ikan ketika isterinya sedang mengandung. Mulut bayi akan kelihatan seperti tertarik ke atas seolah-olah mulut ikan yang telah tersangkut pada pancing. Keadaan-keadaan lain yang turut dapat dijadikan contoh adalah seperti kulit yang bersisik seperti ular ataupun keadaan rupa paras yang seakan-akan rupa monyet.

         Bukan itu sahaja, pasangan yang bakal menimang cahayamata juga dinasihatkan supaya sentiasa mengamalkan bacaan surah-surah yang terpilih dari Al-Quran, misalnya Surah Yusof dan Surah Muhammad. Surah Yusof diamalkan untuk memperolehi anak yang elok rupa parasnya dan Surah Muhammad diamalkan dengan harapan anak yang bakal lahir akan cerdik dan pandai serta mempunyai sifat terpuji.

         Mengikut adat dan kepercayaan Melayu, barang-barang persiapan untuk menyambut kelahiran bayi seperti peralatan bayi, buaian, mandian dan pakaiannya tidak boleh disediakan selagi kandungan ibu belum mencukupi lima bulan. Ini kerana dikhuatiri sesuatu yang buruk akan menimpa bayi tersebut, seperti keguguran ataupun mengikut kepercayaan akan dicuri Orang Bunian.

         Selain itu, perlakuan si ibu sepanjang tempoh mengandung akan turut mempengaruhi bayi apabila lahir kelak. Maka, orang tua-tua berpendapat bahawa ketika mengandung, si ibu perlulah sentiasa bermanis muka dan ringan tangan supaya anak yang bakal dilahirkan akan bersifat sedemikian setelah lahir.

         Setelah genap sembilan bulan, kelahiran bayi akan disambut dalam suasana yang penuh kesyukuran dan kegembiraan oleh seisi keluarga. Selepas dibersihkan oleh bidan, sekiranya bayi tersebut lelaki, si bapa atau datuknya akan mengazankan di telinga kanannya, manakala bagi anak perempuan akan diiqamatkan di telinga kirinya. Ini adalah ritual yang pertama sekali dilakukan ketika menyambut kehadiran satu lagi insan di dalam dunia ini yang dilahirkan dalam adat Melayu. Kemudian, tali pusat akan dipotong bagi memisahkannya dari alam yang gelap di perut ibu ke alam baru yang menantinya. Menurut sesetengah kepercayaan, bayi dikatakan menangis ketika dilahirkan kerana terkejut melihat keadaan alam yang penuh dosa. Ada pula yang mengatakan bayi tersebut ditakut-takutkan oleh hantu syaitan, dan tidak kurang juga ada yang mengatakan bayi tersebut menangis kerana takut dengan beban yang bakal dipikulnya dalam kehidupan kelak.

         Setelah selesai dimandikan, si bapa akan berperanan menanam uri bayi seperti upacara pengkebumian jenazah. Ini kerana uri dianggap sebagai saudara kembar dan teman bayi sewaktu di dalam perut ibu. Ia perlu ditanam dengan sempurna supaya tidak datang mengganggu bayi. Di antara pantang larang menanam uri ialah uri tidak boleh ditanam di luar rumah kerana dipercayai anak tersebut apabila dewasa akan sukar dikawal perlakuannya. Ini juga bagi mengelakkan berlakunya penyalahgunaan oleh pihak tertentu yang ingin menjalankan upacara perbomohan atau pemujaan.

         Kesemua adat dan upacara menerima kehadiran orang baru ini termasuk dalam salah satu jenis ritual iaitu dinamakan Rites of Initiation.

BERENDOI

        Berendoi masih bergerak aktif hingga ke hari ini dan boleh ditonton kebanyakannya di negeri Perlis, Kedah, dan Perak. Di negeri Perak nyanyian berendoi ini menggunakan nama Dendang Siti Fatimah dan seni katanya berlainan dengan seni kata yang dibawa oleh kumpulan Berendoi di Perlis dan Kedah. Adat berendoi atau buai bayi ini dipersembahkan sebagai tanda keriangan atau kesyukuran menyambut kelahiran cahaya mata. Lagu-lagu Berendoi atau Dendang Siti Fatimah membawa seni kata yang memuji junjungan Nabi Muhammad s.a.w, menceritakan perihal susah payah ibu mengandung dan melahirkan anak dan juga nasihat-nasihat kepada kanak-kanak. Ada juga seni kata yang dicipta oleh kumpulan ini disesuaikan dengan keadaan semasa. Antara lagu yang dibawa dalam majlis berendoi ialah Tuhan Rabbul'alamin, Anak di dalam Buaian, Ayuhai Anak Cahaya Mata, Kebesaran Allah, dan Aduhai Anak Jangan Durhaka. Berikut ialah lagu Anak di dalam Buaian:

Ayuhai anak di dalam buaian,
Pejamkan mata jangan tangiskan,
Lagu Berendoi kami dendangkan,
Di dalam majlis tanda kesyukuran.

Lamalah sudah kami menanti,
Namun engkau tak kunjung tiba,
Dengan takdir ilahi rabbi,
Kini engkau sudah menjelma.

BERCUKUR JAMBUL

         Selepas tujuh hari dari hari bersalin, lazimnya diadakan kenduri nasi kunyit, kerana itulah harinya adat mencukur kepala anak kecil itu dijalankan. Kelengkapan yang disediakan untuk adat mencukur ini adalah seperti berikut:

  1. Anak kecil atau bayi itu dipakaikan dengan pakaian yang cantik dan diletakkan dia di atas tilam kecil.
  2. Satu dulang berisi tiga biji mangkuk atau piring yang berisi air tepung tawar, beras kunyit dan bertih.
  3. Sebiji kelapa mumbang yang besar sedikit dipotong pada arah kepalanya dengan potongan berkelok-kelok siku-keluang dan dijadikan penutupnya daripada potongan itu. Air kelapa itu dibuang dan diisi ke dalamnya sedikit air sejuk, dan kelapa itu diletakkan di dalam sebiji batil semuat-muat kelapa itu sahaja. Biasanya, kelapa itu dihiasi dengan lilitan rantai emas atau perak dan dicucuk dengan tajuk-tajuk rekaan yang indah-indah rupanya.

         Apabila kesemuanya sudah siap, maka bayi itu pun dibawa keluar dan dikelilingkan kepada tetamu-tetamu lelaki yang hadir dan setiap seorang daripada mereka dikehendaki menepuk sedikit tepung tawar, menebar sedikit beras kunyit dan bertih kepada bayi itu. Setelah perkara tersebut dilakukan, barulah tetamu-tetamu lelaki tadi menggunting sedikit sahaja rambut bayi itu dengan gunting yang telah disediakan. Lalu rambut yang digunting itu dimasukkan ke dalam kelapa yang telah diisi air. Bilangan orang yang menggunting rambut bayi itu hendaklah dalam bilangan yang ganjil, iaitu tiga, lima atau tujuh atau seumpamanya. Pada masa inilah anak itu diberi nama oleh si bapa. Nama yang diberi adalah nama yang indah dan memberi maksud yang baik. Setelah selesai adat bercukur dan memberi nama anak yang telah dilakukan oleh pihak lelaki, anak itu akan dibawa masuk ke dalam rumah itu dan hal seperti menggunting rambut anak itu dilakukan pula oleh pihak perempuan.

        Setelah selesai kedua-dua pihak lelaki dan perempuan menjalankan perkara di atas, maka barulah kepala anak itu dicukur seluruhnya oleh tok bidan atau sesiapa yang mahir dengan kerja itu. Rambut anak yang telah dicukur itu dimasukkan semuanya ke dalam kelapa itu dan segala rantai dan tajuk-tajuk yang menghiasi kelapa itu dibuka dan dicabut. Kemudian kelapa itu biasanya akan ditanam di mana-mana di halaman rumah bersama-sama sepohon kelapa atau lain-lain seumpamanya sebagai peringatan masa anak itu dilahirkan pada masa hadapan kelak. Namun begitu, orang Melayu di bandar yang sudah moden sekarang tidak banyak lagi menjalankan adat ini, rata-rata orang Melayu kampung sahaja yang masih banyak dan gemar melakukan adat resam mencukur dan menamakan anak. Berkenaan dengan menamakan anak undang-undang kerajaan telah menetapkan bahawa anak yang baru dilahirkan perlulah diberi nama dalam tempoh 24 jam kerana dalam tempoh itu anak yang telah diberi nama itu dikehendaki didaftarkan di pejabat pendaftaran.

MENU
 :: Pengenalan
 :: Sebelum Kelahiran
 :: Selepas Kelahiran
 :: Alam Kanak-kanak
 :: Alam Perkahwinan
 :: Alam Ibu Bapa
 :: Kematian