Rites de Passage
        oleh: Akmal Hafiz

Pengenalan       Sebelum Kelahiran       Selepas Kelahiran       Alam Kanak-kanak       Alam Perkahwinan      

Alam Ibu Bapa       Kematian


ALAM KANAK-KANAK

PERSEKOLAHAN

        Alam persekolahan adalah alam di mana kanak-kanak akan diajar untuk mula bersuaikenal dan mencari kawan. Pada zaman dahulu, kanak-kanak yang berusia tujuh tahun akan dihantar ke sekolah-sekolah pondok atau madrasah untuk mempelajari ilmu agama. Di sana, mereka akan diajar ilmu ketuhanan yang dipanggil ilmu tauhid, ilmu hisab iaitu pengiraan dan ilmu membaca jawi.

         Selain itu, di sebelah malam, selepas menghadiri kelas membaca Al-Quran secara beramai-ramai di masjid atau surau, kanak-kanak lelaki akan berkumpul beramai-ramai bagi mempelajari ilmu silat di perkarangan rumah tuan guru silat. Bagi masyarakat Melayu, seni mempertahankan diri ini bukan sahaja perlu untuk dijadikan pendinding diri, malah ia merupakan suatu senaman kesihatan supaya anak lelaki mereka bertubuh sasa dan kuat apabila dewasa kelak.

         Selain itu, pendidikan juga diberikan secara tidak langsung oleh ibu bapa kepada anak mereka. Ini semua adalah pendidikan yang berdasarkan pengalaman hidup, seperti anak perempuan diajar memasak dan cara mengendalikan rumah tangga. Kemahiran-kemahiran asas yang lain turut dipraktikkan seperti menjahit, menekat atau menganyam tikar mengkuang. Bagi yang lelaki, mereka akan diajar kemahiran-kemahiran seperti menangkap ikan, membuat jala, membina rumah daripada kayu dan bercucuk tanam.

         Sama seperti masyarakat zaman dahulu, masyarakat Melayu kini turut menitikberatkan pendidikan dalam aspek kehidupan. Ini kerana menuntut ilmu adalah sebahagian dari suruhan agama dan penting untuk menjamin masa depan. Apa yang berbeza hanyalah cara ia dilaksanakan. Masyarakat moden kini menghantar anak ke sekolah apabila mereka sudah berusia tujuh tahun. Selain itu, ada juga yang menghantar anak mereka ke kelas seni mempertahankan diri seperti silat, taekwando, karate-do dan sebagainya. Tidak kurang juga ada yang menghantar anak mereka ke kelas kemahiran piano, kelas muzik, kelas berenang dan sebagainya mengikut hobi dan kegemaran masing-masing. Kebanyakan masyarakat Melayu kini akan menghantar anak mereka belajar sehingga ke tahap pendidikan tertinggi, iaitu ke universiti. Ini semua jelas menunjukkan masyarakat Melayu menganggap pendidikan adalah suatu medium yang penting bagi melengkapi sesuatu kehidupan.

BERSUNAT

         Bersunat atau khatan atau khitanan pada masa sekarang kurang dijalankan dengan mengadakan kenduri kendara secara besar-besaran seperti pada zaman dahulu. Walaubagaimanapun masih ada juga yang mengerjakannya dengan berkenduri kendara yang tidak kurang hebatnya. Apabila umur anak si ibu bapa Melayu telah masuk lebih kurang sepuluh atau dua belas tahun maka ibu bapa anak tersebut akan menetapkan hari untuk mereka mengadakan kenduri kendara menyunat anaknya itu. Lalu diberitahu atau dijemput dengan mulut atau dengan surat beberapa saudara-mara, sahabat-handai dan jiran-jiran sekampung. Sekiranya ingin mengadakan kenduri yang lebih besar maka dipanggillah ahli-ahli jemputan dengan lebih ramai lagi.

         Bila sampai harinya, pada sebelah petang atau malamnya mulalah anak lelaki yang hendak disunat itu dimandikan, diandam dan dipakaikan dengan pakaian yang cantik seperti pakaian pengantin. Kemudian, anak lelaki yang ingin disunat itu dibawa duduk di atas kerusi dan ada juga yang membuat pelamin khas untuk budak itu duduk. Bahkan, ada juga yang suka mengarak budak itu seperti mengarak pengantin sebelum dia didudukkan di atas pelamin. Sesetengahnya pula jika budak yang hendak disunat itu telah khatam membaca Al-Quran maka disertakan pula adat menyunat itu dengan adat berkhatam Al-Quran, iaitu budak itu duduk bersila di atas tikar di belakang pelamin itu berhadapan dengan tetamu kehormat yang hadir dan membaca surah-surah penghabisan di dalam Al-Quran itu dengan suara yang kuat dan berlagu (jika dia telah dilatih mengaji dengan berlagu). Setelah selesai mengaji budak itu dipelawa duduk di atas pelamin dan bunga-bunga telur yang telah diperbuat khas dibahagikan kepada tetamu kehormat yang hadir seorang satu tangkai. Bagi guru yang mengajar budak itu, lazimnya si ibu bapa kepada anak yang ingin disunat itu akan menghadiahkan lengkap satu persalin pakaian. Pada akhir majlis itu budak itu disuruh mencium tangan dan bersalaman dengan tetamu-tetamu kehormat tersebut. Kemudiannya, jamuan pun diedarkan kepada sekalian yang hadir. Sesudah itu, majlis petang atau malam itu pun tamat. Pada pagi keesokan harinya, sebelum tok mudim (gelaran tukang sunat) tiba, beberapa benda untuk kegunaan tok mudim menyunat perlu disediakan seperti di bawah ini :-

  1. kain putih, panjang lima hasta.
  2. seekor ayam jantan.
  3. sebiji buyong air.
  4. sebatang pokok pisang.
  5. sirih pinang selengkapnya di dalam piring atau tepak.
  6. duit sebanyak RM3 atau lebih, bergantung seberapa banyak ibu bapa budak itu hendak sedekah kapada tok mudim itu.

         Pada pagi itu, budak yang ingin disunat akan disuruh mandi sepuas-puasnya dan setelah itu air di dalam buyong yang telah dijampi oleh tok mudim akan dicedok dan disiram ke atas budak itu sambil budak itu berdiri di atas tangga. Kemudian budak itu disuruh duduk berkangkang di atas batang pisang, dan tok mudim itu pun dengan pantas menyunatkannya. Sehabis sahaja dicantasnya maka dengan cepat tok mudim itu mengambil ayam jantan dan diacukannya kepala ayam jantan itu kepada kemaluan budak itu. Jika tengkok ayam itu kelihatan kembang ketika diacu-acukan, menandakan kononnya budak itu garang dan akan berbini banyak.

         Kain putih, ayam jantan, tepak dengan isinya, buyong dan duit sedekah itu semuanya terpulang kepada tok mudim itu untuk mengambilnya. Tok Mudim itu akan datang melihat keadaan budak yang disunatnya itu selama tiga hari berturut-turut, setelah itu selesailah kerjanya.

         Namun begitu, kebanyakan masyarakat Melayu sekarang lebih gemar menghantar anak lelaki mereka bersunat di hospital atau di klinik yang diyakini jauh lebih mudah, cepat sembuh dan selamat oleh doktor yang berkemahiran.

BERTINDIK

         Adat resam bertindik dahulunya dilakukan dengan mengadakan kenduri kendara di mana tukang tindik cuma perlu menebuk kedua-dua cuping telinga anak perempuan yang berumur antara lima hingga sepuluh tahun dengan menggunakan sejenis daun. Adat bertindik ini sebenarnya dilakukan untuk meraikan anak perempuan yang dianggap akan meningkat remaja bagi mendidik mereka agar pandai berhias apabila meningkat dewasa kelak. Bagi keluarga Melayu zaman kini, ia merupakan suatu simbolik titik permulaan pemberian sesuatu yang berharga daripada ibu bapa kepada anak perempuan mereka yang berupa barang kemas.

         Selain itu, adat bertindik juga dilakukan sempena mengingati peristiwa di zaman Rasulullah di mana seorang wanita telah cedera di telinganya semasa terlibat dalam peperangan. Untuk menutup kecederaan di telinganya, beliau telah meletakkan sesuatu di lubang tersebut sebagai perhiasan. Inilah yang dikatakan asal-usul adat bertindik di kalangan masyarakat Melayu. Akan tetapi, pada zaman sekarang ini, kerja tersebut tidak banyak lagi dilakukan walaupun oleh orang-orang melayu kampung. Pada masa sekarang, bertindik ini dilakukan sendiri dengan apa sahaja cara yang mudah, asalkan cuping telinga anak masing-masing dapat ditebuk dengan selamat. Tambahan pula di bandar-bandar dan pekan-pekan besar sekarang, pelbagai jenis subang dan anting-anting moden yang cantik-cantik boleh dibeli dengan murah. Malah ada juga anting-anting yang boleh dibeli dan dipakai di cuping telinga dengan hanya pakai ketap sahaja. Walaubagaimanapun, dalam zaman moden kini, perkara bertindik telinga tidak lagi menjadi suatu perkara yang perlu bagi setiap kanak-kanak perempuan.

BERKHATAM AL-QURAN

         Dalam masyarakat Melayu, ilmu pengajian Al-Quran adalah amat ditekankan dalam kehidupan seharian. Anak-anak telah dididik dan diasuh untuk membaca Al-Quran semenjak kecil lagi. Bertitik tolak dari itu, maka muncullah pantun yang sehingga kini masih diamalkan oleh para ibu untuk mendodoikan anak mereka yang masih di dalam buaian.

Buai tinggi-tinggi,
Sampai cucur atap,
Belum tumbuh gigi,
Sudah pandai baca kitab.

         Bagi masyarakat Melayu zaman dahulu, mereka menghantar anak mereka untuk mempelajari Al-Quran di pondok-pondok agama atau di madrasah. Di sana, terdapat seorang guru agama yang akan mengajar anak-anak mereka membaca Al-Quran sehingga tamat. Bagi zaman kini, konsep yang sama masih digunakan, yang berbeza cuma cara ia dijalankan. Ada sesetengah ibu bapa yang mengajar sendiri anak mereka, dan ada juga yang menjemput ustaz atau guru agama datang ke rumah untuk mengajar anak mereka. Tidak kira bagaimanapun caranya, yang pasti, setelah tamat menghabiskan pengajian membaca Al-Quran atau dalam bahasa Arab dipanggil Khatam Al-Quran, satu kenduri kesyukuran akan dijalankan oleh ibu bapa dan kenduri ini akan dihadiri oleh semua ahli keluarga dan penduduk setempat.

        Dalam kenduri tersebut, seorang guru akan dipanggil untuk menyemak bacaan anak-anak yang bakal khatam Al-Quran. Ayat-ayat Al-Quran dari surah-surah yang terakhir dalam Al-Quran bermula dari surah Ad-Dhuha sehingga surah An-Nas akan diperdengarkan kepada tetamu dan setelah tamat tuan guru tersebut akan membacakan doa khatam Al-Quran, menandakan kanak-kanak tersebut sudah diiktiraf tamat membaca Al-Quran. Namun begitu, ini tidak bererti mereka tidak perlu lagi membaca Al-Quran dalam kehidupan sehari-hari. Upacara ini sebenarnya menandakan bahawa kanak-kanak tersebut sudah tidak lagi memerlukan seorang guru untuk menyemak bacaan mereka setiap kali mereka membaca Al-Quran. Bermula dari hari tersebut, mereka hanya perlu membaca Al-Quran sendiri kerana mereka telah dianggap fasih dan mahir dalam membaca Al-Quran. Selepas tamat bacaan doa, para tetamu akan dijamu dengan makanan yang istimewa, bersesuaian dengan konsepnya iaitu mengadakan kenduri kesyukuran supaya rahmatnya dapat dirasai bersama di kalangan semua anggota masyarakat.

MENU
 :: Pengenalan
 :: Sebelum Kelahiran
 :: Selepas Kelahiran
 :: Alam Kanak-kanak
 :: Alam Perkahwinan
 :: Alam Ibu Bapa
 :: Kematian