Rites de Passage
        oleh: Akmal Hafiz

Make your own free website on Tripod.com
Pengenalan       Sebelum Kelahiran       Selepas Kelahiran       Alam Kanak-kanak       Alam Perkahwinan      

Alam Ibu Bapa       Kematian


KEMATIAN

         Setiap makhluk yang hidup pasti akan mati. Sesungguhnya kematian tetap akan menjemput insan untuk kembali kepada penciptaNya. Sekuat mana pun kita lari, sejauh mana pun kita cuba hindari, namun kematian akan tetap mengekori kita. Sampai waktunya dan ketikanya kita tetap akan pergi jua. Begitulah bagi kaum masyarakat Melayu, sama ada yang di kampung atau di pekan, langkah yang mula-mula sekali dilakukan oleh keluarga si mati ialah memberitahu kepada siak atau penjaga masjid kampung atau pekan itu supaya dituliskan di atas papan pemberi tahu masjid itu untuk pengetahuan orang-orang kampung tentang siapa yang mati, bila dan di mana dikebumi atau dikuburkan. Kemudian dihebohkan dengan mulut kepada kaum keluarga dan sahabat handai terdekat dan bagi sanak saudara yang tinggal jauh pula diberitahu melalui telefon atau telegram atau dengan surat. Adalah menjadi perkara mustahak untuk dihebohkan agar tidak ada sesiapa yang akan terkecil hati disebabkan tidak mengetahui akan kematian si mati.

         Sekiranya si mati meninggal pada sebelah petang atau malam, biasanya waktu mengkebumikan mayat itu ditetapkan pada waktu tengah hari atau selewat-lewatnya pada waktu petang esoknya. Jika si mati meninggal pada waktu subuh atau pada waktu pagi maka masa mengkebumikannya akan dilakukan pada sebelah petang itu juga. Ini disebabkan kerana adalah menjadi tuntutan agama Islam supaya mayat itu dikebumikan dengan seberapa cepat yang mungkin. Pada sisi Islam adalah lebih afdal mayat dikebumikan di dalam tempoh enam jam selepas waktu hayatnya.

         Mula-mula mayat itu diangkat daripada tempat ia meninggal dunia dan di-letakkan di tengah-tengah rumah di atas katil atau tilam beralas kain cadar yang bersih dan elok. Di atas mayat itu dipasang langit-langit daripada kain bagi menahan atau menyekat sebarang habuk atau kotoran daripada jatuh ke atas mayat itu. Kemudian kedua-dua tangan mayat itu dikiamkan ke dadanya dan mayat itu diselimut atau ditutup dari kepala litup hingga ke hujung kakinya dengan sehelai dua kain panjang. Menjadi adat masyarakat orang Melayu, sebuah kacip pinang akan diletakkan melintang di atas kain yang menutupi mayat itu, di tengah antara perut dengan dadanya. Tujuan ianya dibuat begitu, ialah kononnya untuk menegah mayat itu daripada dilangkah hantu atau syaitan. Di sebelah mayat itu diletakkan bara atau tempat perasap yang sentiasa berbara api dan dibakar di dalamnya sejenis serbuk harum. Apabila dibakar atau dipanggil oleh masyarakat Melayu "setanggi", atau kalau tidak setanggi maka dibakarlah serbuk kayu gaharu dan bakaran ini diadakan berterusan selagi mayat itu ada di dalam rumah. Bahkan ada yang meneruskan bakaran tepak bara dengan gaharu atau setanggi itu setiap siang dan malam selama tiga hari.

         Sementara menunggu alat-alat kelengkapan mandi, kapan dan keranda mayat itu disiapkan yang akan mengambil masa beberapa jam lamanya, maka sesiapa daripada kaum keluarga dan sahabat handai si mati itu yang ingin melihatnya bolehlah bergilir-gilir masuk melihat mayat dengan hanya menyingkap kain tudung muka mayat itu. Setiap orang perlulah cermat dan hormat ketika melihat mayat. Menjadi adat, selagi mayat itu masih berada di dalam rumah hendaklah ahli-ahli pelawat yang datang berkumpul menziarah dan juga jiran-jiran di sekeliling rumah mayat itu tidak membuat hingar bingar dan berbual-bual perkara yang tidak senonoh. Ini adalah diadatkan oleh adat resam Melayu dan dikehendaki oleh syariat Islam sebagai tanda menghormati insan yang telah pergi buat selama-lamanya dan menganggap setiap mayat itu akan masuk syurga. Begitu jugalah dikehendaki ketika mengiringi mayat di sepanjang jalan mayat itu diangkat dan diiringkan ke kuburnya, di mana bacaan surah al-fatihah disedekahkan sebagai hadiah kepada roh si mati.

         Apabila tiba masanya mayat itu dimandikan, mayat itu pun diangkat dan dibawa ke tempat yang disediakan untuk dimandikan oleh tukang mandi perempuan, jika mayat itu perempuan, atau oleh tukang mandi lelaki, jika mayat itu lelaki. Memandikan mayat itu dilakukan dengan tertib dan sehabis bersih. Selesai memandikan mayat itu, tubuh badannya dilumur serata-ratanya dengan dua jenis serbuk atau kapur barus dan cendana. Di celah-celah pelipat dan lain-lain tempat yang mustahak diselitkan dengan kapas, kemudian barulah mayat itu diangkat dan dibawa ke tengah atau ke serambi rumah itu untuk dikapankan iaitu dipakaikan kain dan seluar daripada kain putih yang tidak berjahit. Setelah itu, dibungkus atau disarung mayat itu dengan kain putih yang juga tidak berjahit. Kedua-dua jenis pakaian yang dipakaikan ke atas mayat itulah yang dipanggil atau dinamakan kapan mayat. Mayat yang telah dibungkus itu tadi dililit dan diikat dengan beberapa ikatan dari kaki hingga ke leher kecuali di bahagian kepalanya dibiarkan tidak berikat untuk sementara waktu. Ini bertujuan pada masa itu diadatkan kaum keluarga si mati itu dipanggil untuk menaburkan sejemput daripada serbuk cendana yang memang sediakan, disekeliling kepala mayat itu, sebagai isyarat atau tanda penghormatan terakhir kepada si mati. Setelah selesai adat menabur cendana itu barulah kepala mayat itu dibungkus dan diikat. Kemudian dimasukkan mayat itu ke dalam sebuah peti yang dipanggil keranda yang diperbuat daripada kayu yang ringan. Di bawah keranda itu lantainya diregang tutup dengan sebidang kain putih yang dilekatkan disekeliling papan keranda itu dengan pin-pin lekap. Setelah itu, keranda itu pun diangkat dan diletakkan di atas usungan dan ditutup keranda itu dengan beberapa lapis kain panjang yang elok-elok. Kain lapis pada atas sekali, biasanya diletakkan kain yang bertulis ayat-ayat Al-Quran. Kemudian barulah dipikul dan diusung oleh orang ramai dengan bergilir-gilir dan berjalan secara perlahan-lahan ke masjid yang berhampiran dengan tanah perkuburannya untuk disembahyangkan jika mayat itu tidak disembahyangkan di rumahnya.

         Setibanya di masjid, diturunkan keranda itu daripada usungannya lalu dibawa masuk ke dalam masjid dan diletakkan berhadapan dengan mihrab masjid itu dan kemudian tampillah sekalian haji-haji, lebai-lebai dan juga orang yang mengiringi mayat itu tadi menyembahyangkan mayat itu. Selesai sembahyang mayat, biasanya diedarkan sedekah berupa wang atau benda contohnya seperti kain pelekat kepada mereka yang telah menyembahyangkan mayat itu tadi. Setelah itu, mayat itu pun dipikul kembali oleh beberapa orang untuk di bawa ke kubur yang telah siap sedia digali. Mayat dengan kerandanya itu pun dimasukkan ke dalam kubur itu. Sebelum ditimbus kubur itu, siak masjid atau sesiapa berkenaan akan turun ke dalam kubur membuka papan tutup keranda itu dan mengerengkan mayat itu serta dibukanya ikatan kapannya. Mayat itu disendal dengan kepal-kepal tanah yang kebanyakannya dikepal oleh keluarga si mati, dan setelah dibangkan di telinga mayat itu oleh siak maka barulah keranda itu ditutup dan kubur itu ditimbus dengan tanah.

         Selesai kubur itu ditimbus, dipacakkan sebatang ranting pohon sebagai tanda untuk memacakkan batu nesan pada kemudian hari. Ada juga yang sudah sedia membawa dua batang batu nesan untuk dipacakkan pada masa itu juga. Siap sahaja kubur itu ditimbus, tampillah seorang haji, imam atau orang alim di tepi kubur itu dimana telah dibentang untuknya duduk sebidang di atas tikar sila atau tikar kecil. Di tepi kubur itu disediakan setalam bunga rampai atau pelbagai bunga changa dan disediakan juga satu atau dua balang air cendana. Di atas tikar sila itulah duduk tuan haji, lebai atau tuan alim membaca talkin dan bertahlil serta membaca doa untuk si mati itu. Ada juga dahulu, diadatkan orang yang membaca talkin itu dipayungkan walaupun hari tidak hujan atau cahaya matahari tidak memacar ke atasnya. Setelah selesai talkin, tahlil dan doa dibaca dan diaminkan oleh sekalian pengiring-pengiring mayat yang masih ditempat perkuburan itu, lalu air kedua-dua balang itu pun disiramkan ke atas kubur itu dari kepala sampai ke bahagian kakinya sehingga habis air di dalam balang itu. Kemudian bunga di dalam talam itu pun ditaburkan serata di atas kubur itu. Dengan demikian, selesai1ah adat mengkebumikan mayat itu dan bersurailah sekalian yang hadir ditempat perkuburan itu. Ada juga yang sebelum bersurai, bertemu dan bersalaman dengan bapa atau waris si mati itu. Tok alim, tok imam atau tok lebai, pembaca talkin itu akan diberi bayaran wang sebanyak lebih kurang dua hingga lima ringgit, ada juga dihadiahkan tikar sila tempat dia duduk membaca talkin itu dan balang air yang telah dikosongkan. Selain itu, sesetengahnya menghadiahkan payung yang telah digunakan ketika memayungkan orang yang membaca talkin tadi.

         Dari zaman-berzaman hingga ke sekarang ini telah dijadikan adat resam Melayu mengadakan kenduri arwah, pada hari-hari ketiga, ketujuh, keempat belas, keempat puluh dan keseratus kemudian selepas hari mati itu dan kadang kala setiap tahun mengadakan kenduri arwah sebagai tanda memperingati si mati sambil mensedekahkan doa-doa yang merupakan rezeki atau makanan mereka di hari akhirat.

MENU
 :: Pengenalan
 :: Sebelum Kelahiran
 :: Selepas Kelahiran
 :: Alam Kanak-kanak
 :: Alam Perkahwinan
 :: Alam Ibu Bapa
 :: Kematian