Rites de Passage
        oleh: Akmal Hafiz

Pengenalan       Sebelum Kelahiran       Selepas Kelahiran       Alam Kanak-kanak       Alam Perkahwinan      

Alam Ibu Bapa       Kematian


PENGENALAN

        Biar mati anak, jangan mati adat. Demikianlah bunyinya satu pepatah Melayu yang dapat dijadikan bukti betapa pentingnya sesebuah adat diamalkan dalam masyarakat Melayu. Ritual, atau lebih mudah difahami dengan istilah adat-istiadat atau upacara adalah suatu yang dianggap aset yang melengkapkan identiti bangsa Melayu. Ini kerana, sejak zaman berzaman, rumpun Melayu memang sudah terkenal sebagai satu kelompok masyarakat yang sangat mementingkan peraturan dan tatasusila dalam kehidupan. Ritual terdapat dalam dua bentuk, iaitu melalui perbuatan iaitu praktis dan melalui kepercayaan, dipanggil ideal. Kedua-duanya dianggap sakral iaitu suci dan bersifat transendental. Biasanya, ritual lahir kesan daripada interaksi di antara manusia dengan yang ghaib, atau kuasa supernatural dan ritual dianggap sebagai medium pengantara bagi kedua-duanya. Dalam ritual, terutamanya dari aspek kehidupan, satu matlamat yang ingin dicapai ialah semangat perpaduan yang kukuh di antara seluruh anggota masyarakat supaya dapat hidup aman sejahtera, di samping menjaga keharmonian hubungan di antara manusia dengan yang ghaib. Oleh yang demikian, ritual sebenarnya memainkan peranan yang besar dalam sesebuah komuniti masyarakat. Terdapat beberapa rites atau peraturan yang telah digariskan dalam ritual Melayu. Rites of Initiation adalah adat berkaitan penerimaan orang baru, Rites of Intensification adalah upacara mempertingkatkan hasil ekonomi, Rites of Protective Ritual berkaitan dengan upacara melindungi diri, Rites of Afflication berkenaan menghalau hantu atau kuasa luar biasa, dan akhir sekali, Rites de Passage, upacara peningkatan tahap dalam kehidupan seorang manusia. Dalam tugasan ini, topik Rites de Passage akan dikupas satu-persatu, bermula dari alam di dalam rahim ibu sehinggalah ke alam barzakh, iaitu alam kematian.

MENU
 :: Pengenalan
 :: Sebelum Kelahiran
 :: Selepas Kelahiran
 :: Alam Kanak-kanak
 :: Alam Perkahwinan
 :: Alam Ibu Bapa
 :: Kematian